Miri Perkenal Anugerah Datuk Bandar 2026 Iktiraf Sumbangan Komuniti
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperkenalkan Miri City Mayor’s Awards 2026 sebagai inisiatif menghargai individu, organisasi dan kumpulan komuniti yang menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan bandar raya ini.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata kemajuan Miri bukan hanya bergantung kepada peranan pihak berkuasa tempatan, malah turut dipacu oleh penglibatan aktif masyarakat melalui idea, kemahiran dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
Menurut beliau, anugerah tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar, budaya dan warisan, pendidikan, inovasi, pelancongan, perniagaan serta pembangunan belia.
“Melalui penganjuran ini, kita mahu menggalakkan semangat tanggungjawab sivik, kesukarelawanan serta kerjasama erat antara MBM dan komuniti, selaras aspirasi menjadikan Miri sebuah bandar raya hijau, pintar dan paling layak didiami,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Miri, di sini, pada Selasa.
Sebanyak 10 kategori dipertandingkan bagi edisi 2026, dengan pencalonan dibuka mulai 22 September hingga 22 Oktober, jam 5 petang.
Orang ramai digalakkan mencalonkan individu atau organisasi yang telah memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Majlis penyampaian Miri City Mayor’s Awards 2026 dijadual berlangsung pada 6 Disember depan di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri.-EDISI UKAS