MIRI: Kemudahan sukan dan riadah untuk anggota polis terus diperkasa menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi pembinaan gelanggang futsal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata tender bagi projek berkenaan dijangka dibuka pada akhir Oktober ini dengan sasaran pembinaan bermula Disember tahun ini.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan tersebut penting bagi menyokong kesejahteraan anggota polis yang memainkan peranan besar dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“Selain memikul tanggungjawab penting, anggota polis juga memerlukan kemudahan riadah yang lengkap bagi menggalakkan kesihatan serta meningkatkan semangat berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pemeriksaan ke lokasi projek bersama jurutera serta pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri di IPD Miri, pada Selasa.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Tambah beliau, penyediaan peruntukan RTP bagi kemudahan fizikal agensi penguat kuasa mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
“Dengan perkembangan pesat bandar Miri, tanggungjawab pasukan polis semakin mencabar, justeru kemudahan dan kelengkapan perlu terus dipertingkatkan,” ujarnya.
Beliau berharap projek tersebut akan menyediakan ruang riadah yang lebih lengkap, sekali gus menyokong kesihatan fizikal dan mental anggota serta mengeratkan semangat berpasukan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan kawasan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada infrastruktur asas seperti jalan raya dan perparitan, sebaliknya turut merangkumi keperluan kemudahan agensi penguat kuasa yang akan ditambah baik secara berperingkat.-EDISI UKAS