SOE Berpotensi Jana RM9.62 Bilion Hasil Tambahan Menjelang 2030
KUCHING: Transformasi Perusahaan Milik Kerajaan Sarawak (SOE) kini bergerak ke Fasa 2 dengan melibatkan 32 lagi Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan merentasi 17 sektor, yang berpotensi menjana RM9.62 bilion hasil tambahan menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, selain hasil tambahan itu, inisiatif berkenaan turut berpotensi menjana RM1.6 bilion tambahan dalam Keuntungan Selepas Cukai Terlaras serta kira-kira RM1.27 bilion dividen antara 2027 hingga 2030.
“Ini merupakan angka yang menggalakkan, namun saya ingin menjelaskan bahawa angka-angka ini adalah unjuran, bukannya pencapaian.
“Nilai sebenar bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterjemahkan secara berkesan kepada hasil,” katanya ketika berucap dalam ‘Sarawak State-Owned Enterprise (SOE) Transformation Programme’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, Fasa 1 yang melibatkan 36 entiti memberi tumpuan kepada diagnosis termasuk memahami kedudukan kewangan, mengenal pasti jurang, menilai keupayaan dan merangka hala tuju transformasi yang mengunjurkan pengurangan kira-kira RM403 juta dalam keperluan geran operasi menjelang 2030 dengan lebih 50 peratus entiti yang dinilai dijangka mencapai kemandirian kewangan.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, perbezaan penting antara Fasa 1 dan Fasa 2 adalah Fasa 2 memberi penekanan kepada pemilikan oleh entiti itu sendiri dengan mereka diminta menilai kedudukan semasa, menentukan kedudukan yang ingin dicapai menjelang 2030 serta menjelaskan strategi untuk mencapainya.
Menurutnya, Kerajaan menyediakan hala tuju dasar manakala Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak menyediakan rangka kerja tadbir urus dan pemantauan ditambah dengan perunding menyediakan kepakaran.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menyatakan penilaian Fasa 2 mengunjurkan peningkatan kebergantungan kepada geran sebanyak kira-kira RM339.2 juta atau 121.9 peratus.
Menurutnya pada pandangan pertama, perkara ini mungkin kelihatan tidak selari dengan objektif untuk mencapai kemandirian kewangan yang lebih besar namun tujuan sokongan adalah ke arah pendidikan, pembangunan modal insan serta fungsi awam yang penting.
“Sebahagian besar peningkatan itu mencerminkan sokongan Kerajaan yang lebih tinggi untuk pendidikan dan pembangunan modal insan, bersama-sama fungsi awam penting yang lain seperti seni dan budaya, penyelidikan serta pembangunan saintifik, dan perlindungan serta pengawalseliaan alam sekitar,” jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie