Golongan Muda Disaran Hargai Peluang Pendidikan, Jasa Generasi Terdahulu
SARIKEI: Golongan muda disaran menghargai peluang pendidikan yang diberikan serta terus berusaha mencapai kecemerlangan sebagai tanda menghargai pengorbanan ibu bapa dan generasi terdahulu.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pendidikan penting dalam membina masa depan generasi muda, di samping memastikan nilai menghormati orang tua dan mengenang jasa nenek moyang terus diwarisi.
Menurut beliau, Wong’s Clan (Nue Ding) Association Sarawak merupakan antara wadah yang memelihara semangat mengenang jasa nenek moyang, menghormati ibu bapa dan warga emas serta memastikan nilai-nilai murni tersebut terus diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Golongan muda perlu menghargai masa belajar dan berusaha mencapai kejayaan sebagai tanda penghargaan kepada keluarga yang telah banyak berkorban,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang anjuran Wong’s Clan (Nue Ding) Association Sarawak di New Fortune Restaurant Sarikei, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang berkata, beliau akan terus berusaha membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, bandar dan rumah panjang, termasuk meningkatkan kemudahan sekolah serta prasarana asas.
Ujarnya, usaha tersebut penting bagi memastikan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan selamat.
“Usaha berterusan dalam bidang pendidikan dan kebajikan telah membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak untuk mendapat pendidikan yang baik, di samping membantu golongan warga emas menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
Pada majlis tersebut, Dato’ Sri Huang turut menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Wong’s Clan (Nue Ding) Association Sarawak bagi kegunaan aktiviti tahunan persatuan.-EDISI UKAS