Cadangan Naik Taraf Jalan Bintulu–Bakun Diberikan Keutamaan Dalam Bajet 2027
SUNGAI ASAP: Cadangan menaik taraf Jalan Persekutuan Bintulu–Bakun akan diberikan keutamaan untuk pertimbangan dalam Bajet 2027, termasuk pembinaan enam lokasi lorong memotong bagi meningkatkan kelancaran dan keselamatan perjalanan.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata cadangan tersebut merupakan antara perancangan KKR untuk meningkatkan tahap jalan berkenaan, termasuk melalui pelebaran jalan dan pembinaan lorong memotong di lokasi yang dikenal pasti.
Menurut beliau, pembinaan lorong memotong dicadangkan sebagai langkah awal mengambil kira keperluan semasa dan kemampuan peruntukan, sebelum pelebaran jalan secara lebih menyeluruh dipertimbangkan pada masa hadapan.
“Kita gunakan strategi kita, buat lorong memotong dahulu sebab keperluannya memang ada. Bila kita buat begitu nanti, susulan dari masa ke masa akhirnya kita boleh angkat sebagai satu projek baharu untuk buat dua lorong satu arah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program YB Menteri Kerja Raya Bersama Rakyat di Uma Baha, Apau Koyan, Sungai Asap, di sini, pada Selasa.
Dato Sri Alexander berkata, perancangan menaik taraf laluan tersebut telah diangkat sebagai keutamaan KKR untuk mendapatkan kelulusan dalam bajet yang bakal dibentangkan, selain memohon sokongan Kerajaan Sarawak bagi mengukuhkan cadangan berkenaan.
Katanya, enam lokasi lorong memotong dicadangkan di sepanjang laluan berkenaan bagi membantu mengatasi keadaan jalan yang sempit dan mempunyai kawasan berbukit, khususnya apabila pengguna berdepan kenderaan berat.
Keadaan tersebut ujarnya boleh menjejaskan kelancaran perjalanan, terutama bagi pengguna yang perlu bergerak ke lokasi penting seperti lapangan terbang dan hospital.
Dalam masa sama katanya, KKR turut mengambil perhatian terhadap keperluan meningkatkan pencahayaan di lokasi tertentu, termasuk kawasan perumahan dan persimpangan, bagi membantu keselamatan pengguna pada waktu malam.
Jelas beliau, perkara yang memerlukan peruntukan lebih besar perlu melalui penelitian dan pertimbangan kementerian serta agensi berkaitan berdasarkan keperluan teknikal dan sumber kewangan yang tersedia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon turut mengetengahkan keperluan menaik taraf jalan masuk utama BRS Sungai Asap sepanjang kira-kira 20 kilometer serta jalan cabang ke 15 rumah panjang kepada Standard R3 Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau turut mencadangkan penyediaan lorong motosikal dan lampu jalan serta agar jalan masuk utama BRS Sungai Asap dipertimbangkan sebagai sambungan kepada Jalan Persekutuan Bintulu–Bakun.
Menurut Kennedy, jaringan jalan yang lebih baik dan selamat penting kepada masyarakat pedalaman kerana menghubungkan penduduk dengan pendidikan, kesihatan, pekerjaan, pasaran serta peluang ekonomi.
Dalam pada itu, Dato Sri Alexander menjelaskan cadangan jalan sepanjang 28 kilometer yang turut dibangkitkan berada di bawah skop pembangunan luar bandar dan bukan dalam skop KKR, namun perkara tersebut boleh dipanjangkan kepada kementerian berkaitan.
Program berkenaan dianjurkan Pejabat Daerah Belaga dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) Uma Baha, Apau Koyan Belaga dan dihadiri kira-kira 150 orang.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato Seri Azman Ibrahim, Ahli Dewan Negara, Senator Micheal Mujah Lihan, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Ir. Dr. Cassidy Morris serta Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit.-EDISI UKAS