Dewan RTP RM350,000 Perkukuh Kemudahan Komuniti Kampung Sagu
SEBUYAU: Penduduk Kampung Sagu kini mempunyai kemudahan lebih selesa untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan menerusi pembinaan Dewan RTP bernilai RM350,000.
Kemudahan berkenaan dirasmikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Paip, Dewan serta Padang Futsal Kampung Sagu di sini pada Selasa.
Dewan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang bagi penganjuran program rasmi, malah dapat dimanfaatkan untuk mesyuarat, aktiviti persatuan, program sosial serta pelbagai kegiatan melibatkan penduduk setempat.
Penyediaan kemudahan itu sekali gus melengkapkan infrastruktur komuniti di Kampung Sagu selain menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti setempat.
Ia juga menjadi aset penting kepada penduduk dalam menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan pada masa akan datang, sekali gus memperkukuh hubungan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Program Pemimpin Bersama Rakyat berkenaan turut memberi ruang kepada penduduk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin serta mendapatkan maklumat mengenai pembangunan dan kemudahan yang dilaksanakan di kawasan mereka.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Jurutera Air Bahagian Samarahan, Ts. Adzahari Baini, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Sebuyau, Pemanca Merum Babu, Ketua Masyarakat Kampung Sagu, Tr. Lita Godang.-EDISI UKAS