SEBUYAU: Golongan belia dan penduduk Kampung Sagu kini mempunyai ruang lebih selesa untuk bersukan dan beriadah menerusi pembinaan Padang Futsal RTP 2025 bernilai RM200,000.
Kemudahan itu merupakan antara projek yang dirasmikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Paip, Dewan serta Padang Futsal Kampung Sagu di sini pada Selasa.
Penyediaan padang futsal berkenaan memberi peluang kepada golongan belia menjalankan aktiviti sukan dan riadah secara lebih teratur, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat setempat.
Kemudahan itu juga boleh dimanfaatkan untuk penganjuran pertandingan futsal, program pembangunan belia serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan berasaskan sukan.
Pada masa sama, padang futsal berkenaan dapat menjadi ruang interaksi komuniti yang menggalakkan penyertaan golongan muda serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk Kampung Sagu.
Pembangunan kemudahan sukan itu bersama penyediaan dewan komuniti dan peningkatan sistem bekalan air melengkapkan usaha meningkatkan kemudahan asas serta kualiti kehidupan penduduk di kampung berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Jurutera Air Bahagian Samarahan, Ts. Adzahari Baini, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Sebuyau, Pemanca Merum Babu, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum dan Jawatankuasa Kampung Sagu.-EDISI UKAS