RM200,000 Naik Taraf Jalan Tanah Perkuburan Kampung Nyabor
KABONG: Peruntukan sebanyak RM200,000 disalurkan bagi melaksanakan Projek Naik Taraf Jalan Tanah Perkuburan Kampung Nyabor di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Kabong Tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah hadir ke Majlis Serahan Tapak projek berkenaan yang berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor pada Selasa.
Projek berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan serta akses jalan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyabor, sekali gus memberi laluan yang lebih baik dan selesa kepada penduduk setempat.
Pelaksanaan projek diserahkan kepada Darfrazil Enterprise selaku kontraktor yang dilantik, dengan kerja-kerja bermula pada 14 September 2026 dan dijadualkan siap pada 9 Januari 2027.
Kemudahan jalan yang dinaik taraf itu dijangka memudahkan urusan masyarakat setempat, khususnya ketika menguruskan pengebumian serta menziarahi tanah perkuburan.
Menurut beliau, kelulusan projek tersebut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas yang diperlukan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian dan ditambah baik.
Beliau berkata, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk Kampung Nyabor dan kawasan sekitarnya dengan menyediakan akses yang lebih baik ke kawasan tanah perkuburan.
Beliau turut berharap kerja-kerja yang dilaksanakan kontraktor dapat berjalan lancar serta disiapkan dalam tempoh ditetapkan mengikut spesifikasi dan piawaian yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS