Tambirat Waterfront Fasa 2 Diteruskan, Kos Lebih RM100 Juta
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju meneruskan pembangunan Fasa 2 Tambirat Waterfront yang dijangka menelan kos lebih RM100 juta dan meliputi kawasan sepanjang kira-kira satu kilometer di Kampung Tambirat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan itu akan merangkumi kawasan lebih luas berbanding Fasa 1 bagi mewujudkan sebuah waterfront yang dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat *dan juga berfungsi sebagai benteng hakisan bagi Kampung Tambirat.*
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah bersetuju supaya projek fasa kedua tersebut dilaksanakan bagi membangunkan keseluruhan tebing waterfront Kampung Tambirat.
"Fasa kedua ini akan meliputi keseluruhan Kampung Tambirat, lebih kurang satu kilometer, dan kita mahu ia menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh penduduk Kampung Tambirat.
“Yang Amat Berhormat telah bersetuju untuk projek Fasa Kedua itu dilaksanakan. Projeknya kosnya pun boleh tahan jugalah, lebih daripada RM100 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bilangan 2 Tahun 2026 di sebuah hotel termuka, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, proses seterusnya melibatkan penentuan pihak yang akan mengendalikan projek berkenaan sebelum pelaksanaan Fasa 2 dimulakan.
Katanya, pembangunan tersebut dijangka menjadi kemudahan baharu yang dapat dibanggakan penduduk Kampung Tambirat selain menyokong aktiviti masyarakat dan potensi pelancongan di kawasan berkenaan.
Menyentuh Fasa 1 Tambirat Waterfront, Dato Sri Abdul Karim berkata projek berkenaan yang menjadi lokasi penganjuran Samarahan Regatta sebelum ini mengalami keruntuhan sebahagian struktur kira-kira empat hingga lima bulan sebelum dijadualkan siap pada 2024.
Menurutnya, perkara tersebut kini berada dalam proses perundangan dan beliau tidak dapat mengulas lanjut berikutan kemungkinan ia dibawa ke mahkamah atau melalui rundingan antara kontraktor dengan pihak klien.
“Malangnya, empat ataupun lima bulan sebelum ia siap pada tahun 2024, kita sudah merancang untuk Premier merasmikan tempat itu bersama Regatta pada tahun tersebut.
“Bagaimanapun, pada suatu pagi, tiba-tiba sebahagian daripada projek itu runtuh. Ia telah masuk ke proses perundangan dan saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana ia akan menjadi sub judice,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan Fasa 1 berkenaan diselamatkan, manakala Fasa 2 akan diteruskan sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan waterfront *dan juga berfungsi sebagai benteng hakisan* yang lebih menyeluruh di Kampung Tambirat.
Tambahnya, pembangunan Fasa 2 itu akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan waterfront yang lebih menyeluruh untuk kegunaan penduduk serta menyokong aktiviti dan pembangunan kawasan Tambirat pada masa hadapan.-EDISI UKAS