Penyahpusatan Kurangkan Birokrasi, Percepat Projek IRSDA Di Samarahan
KUCHING: Pendekatan penyahpusatan pelaksanaan projek kepada agensi kerajaan di peringkat pelaksana membantu mengurangkan birokrasi dan mempercepat penyampaian pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan itu membolehkan agensi pelaksana seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pihak berkuasa tempatan melaksanakan projek mengikut bidang tanggungjawab masing-masing dengan lebih cekap.
Menurut beliau, kaedah berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda Kerajaan Sarawak untuk memberikan lebih banyak kuasa pelaksanaan kepada agensi di peringkat bawah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses birokrasi yang panjang.
“Projek-projek besar telah dilaksanakan dan kita sangat gembira melihat perkembangan ini. Saya berani mengatakan kita berada di hadapan dalam melaksanakan projek bagi agensi pembangunan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bilangan 2 Tahun 2026 di sebuah hotel termuka, di sini, pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim berkata, pendekatan tersebut turut disokong oleh penyelarasan antara agensi yang diberi tanggungjawab khusus mengikut bidang masing-masing, termasuk infrastruktur, infrastruktur bandar, pertanian dan sosioekonomi.
Katanya, model pelaksanaan berkenaan membolehkan agensi yang mempunyai kepakaran serta bidang kuasa berkaitan bertindak sebagai pelaksana projek, sekali gus memperkemas proses penyampaian pembangunan di kawasan Samarahan.
Dalam pada itu, beliau berkata pencapaian pelaksanaan projek IRSDA menunjukkan kemajuan ketara apabila 534 daripada keseluruhan 638 projek telah siap, manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan atau perancangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan pihak pelaksana yang terlibat atas komitmen memastikan projek di bawah IRSDA dapat dilaksanakan dengan baik.
Menurutnya, kerjasama bersepadu antara agensi amat penting bagi memastikan dasar penyahpusatan bukan sahaja mengurangkan proses birokrasi, tetapi turut mempercepat penyampaian manfaat pembangunan kepada rakyat di Bahagian Samarahan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan IRSDA, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan IRSDA, Datul Lr. Aidel Lariwoo, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian Sarawak, Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS