RM55,000 Geran MRP Manfaat Empat Pertubuhan Di DUN Opar
KUCHING: Sebanyak RM55,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Opar disalurkan kepada empat pertubuhan bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan, sukan dan pembangunan pelancongan di Lundu.
Penyerahan cek geran berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Lundu (DAC) N.1 Opar Bilangan 2/2026 di Pejabat Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di sini pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, Lundu Tourism Task Force menerima RM10,000, manakala MAKSAK Lundu, Liga Bola Sepak Lundu dan AWC Sebako masing-masing menerima RM15,000.
Penyaluran geran berkenaan diharap dapat membantu pertubuhan terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat, selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam program sosial, rekreasi, sukan dan pembangunan pelancongan tempatan.
Pada masa sama, Mesyuarat DAC N.1 Opar menjadi platform bagi menyelaras dan meneliti pelaksanaan program serta projek pembangunan di kawasan berkenaan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi dan pihak berkepentingan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.-EDISI UKAS