Sarawak Harap Suntikan Dana MA63 Dilaksanakan Menjelang Belanjawan 2027
KUCHING: Sarawak berharap perkara yang telah dibincangkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan suntikan dana dapat dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihaknya akan menunggu pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober kelak.
“Harapan kita supaya apa yang telah dibincangkan dalam MA63 dapat dilaksanakan, dari segi suntikan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan ‘Sarawak State-Owned Enterprise (SOE) Transformation Programme’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan mengenai perancangan untuk menilai semula suntikan dana kepada beberapa SOE.
Namun, beliau enggan mendedahkan jumlah SOE yang dikenal pasti, sebaliknya meminta semua pihak menunggu pembentangan Belanjawan Sarawak 2027.
“Kelaklah kita menyebutkan perkara tersebut, perkara sama seperti yang saya jelaskan tadi, ia merupakan hala tuju, hala tuju dasar,” jelasnya ringkas. -EDISI UKAS'
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie