Hasil Sarawak Lebih Tinggi Daripada Peruntukan Persekutuan
KUCHING: Hasil Sarawak lebih tinggi berbanding jumlah peruntukan Persekutuan yang disalurkan kepada negeri itu bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembentangan carta bar oleh Kementerian Kewangan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lepas menunjukkan mereka membelanjakan lebih banyak wang berbanding hasil yang diperoleh Sarawak dan Sabah.
Namun katanya, Sarawak mengikut carta bar sendiri menunjukkan hasil negeri yang lebih tinggi berbanding carta bar Persekutuan.
“Semasa mesyuarat itu, saya menjelaskan kepada Kementerian Kewangan, khususnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa carta mereka mengelirukan.
“Hasil Sarawak lebih tinggi daripada apa yang anda berikan kepada Sarawak. Itu carta anda, bukan carta saya,” katanya ketika berucap dalam ‘Sarawak State-Owned Enterprise (SOE) Transformation Programme’ di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, carta yang dibentangkan menunjukkan perbandingan hasil dan peruntukan Persekutuan bagi negeri-negeri berkenaan dengan hasil Sarawak bagi 2022 hingga 2025 berada pada paras lebih tinggi berbanding jumlah peruntukan Persekutuan yang ditunjukkan dalam carta tersebut.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pencapaian berkenaan mencerminkan hasil daripada usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi Sarawak.
Justeru, beliau menggesa agar Kerajaan Persekutuan turut menjalankan tanggungjawab bersama dengan menghasilkan keputusan untuk Sarawak agar negeri ini muncul sebagai negeri berpendapatan tinggi dan juga mempunyai pendapatan boleh guna yang tinggi untuk rakyat di sini.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Ketua-ketua Jabatan serta kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie