Perubahan Teknologi Buka Ruang Perkembangan Kesusasteraan
KUCHING: Perubahan teknologi membuka ruang dan peluang yang luas untuk dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada perkembangan kesusasteraan serta kesejahteraan manusia sejagat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, teknologi moden tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kesusasteraan dan kemanusiaan, sebaliknya ia perlu dimanfaatkan bagi memperluas perkembangan sastera.
“Hari ini, kita tidak lagi bergantung hanya kepada bahan bercetak untuk membaca karya sastera. Puisi, cerpen dan novel yang sudah diubah kepada pelbagai wahana penyampaiannya dan mampu menjangkau khalayak global tanpa batas sempadan.
“Malah, teknologi kecerdasan buatan juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan, penterjemahan dan pemeliharaan khazanah sastera serantau. Apa yang penting ialah nilai kemanusiaan, kreativiti dan pemikiran kritis yang menjadi teras sesebuah karya tetap dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sidang ke-30 Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 dan penyampaian hadiah MASTERA ke-10 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan, teknologi hanyalah medium penyampaian, manakala akal, emosi, pengalaman dan nilai kemanusiaan yang mendasari sesebuah karya tetap berpaksikan penulisnya.
Dalam pada itu, katanya, pendekatan baharu perlu diteroka bagi mengekalkan minat generasi muda terhadap sastera, termasuk dengan membawa karya ke platform digital, media sosial, audio siar, kandungan video pendek dan permainan interaktif yang dekat dengan kehidupan mereka.
Beliau berharap Sidang Ke-30 MASTERA dapat melahirkan lebih banyak inisiatif strategik bagi memperkasa penterjemahan karya serantau, memperluas penerbitan rentas negara, memanfaatkan teknologi digital serta memperkukuh pengantarabangsaan karya Asia Tenggara.
Pada majlis sama, Dato Sri Abdul Karim turut menyampaikan Hadiah Sastera MASTERA Ke-10 kepada penerima bagi kategori Karya Sastera Kreatif dan Karya Sastera Bukan Kreatif yang melibatkan penulis dari Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Bagi kategori Karya Sastera Kreatif, penerima ialah A. Hashim Hamid dari Brunei Darussalam, Evi Sri Rezeki dari Indonesia, Malim Ghozali PK dari Malaysia dan Hartinah Ahmad dari Singapura.
Penerima Kategori Karya Sastera Bukan Kreatif pula Akhmad Taufiq dari Indonesia, A. Rahim Abdullah dari Malaysia dan Pitchay Gani Aziz dari Singapura.
Turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Pengerusi MASTERA Malaysia Datuk Dr. Hazami Jahari, Pemangku Pengarah DBP Brunei Darussalam merangkap Pengerusi MASTERA Brunei Darussalam Awang Suip Abdul Wahab, Setiausaha MASTERA Indonesia Dr. Ganjar Harimansyah Wijaya serta Timbalan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura merangkap Pengerusi MASTERA Singapura Dr. Azhar Ibrahim Alwee.-EDISI UKAS