Sarawak Harap RTM Kongsi Kepakaran Media Bantu Persiapan Sukan SEA 2027
KUCHING: Sarawak berharap Radio Televisyen Malaysia (RTM) dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman luas dalam pengurusan media bagi membantu persiapan liputan Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pengalaman RTM menguruskan liputan pelbagai acara sukan berskala besar sebelum ini boleh dimanfaatkan bagi memastikan aspek media dan penyiaran Sukan SEA 2027 dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Menurutnya, perkongsian kepakaran tersebut bukan sahaja melibatkan aspek teknikal, malah merangkumi pengurusan keseluruhan termasuk pergerakan media dan penyiaran.
"Saya yakin RTM mampu untuk berkongsi pengalaman ini dan saya harap dalam perjalanan kita ke arah acara Sukan SEA pada September tahun depan, ia dapat disiarkan dengan lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, pada Rabu.
Tambahnya, sistem telekomunikasi juga perlu ditambah baik bagi menyokong keperluan penyiaran dan liputan sepanjang temasya berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Ashwad Ismail memberitahu, RTM akan memberikan kerjasama penuh dari segi kepakaran dan perkongsian pengalaman berkaitan teknologi serta pengurusan penyiaran acara sukan.
Ujarnya, penganjuran Piala Dunia 2026 mengajar banyak perkara yang boleh diperbaharui dan ditambah baik, terutama untuk penganjuran sukan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir