TikTok Challenge Hari Malaysia 2026 Cungkil Kreativiti Pelajar & Orang Awam
KUCHING: Pertandingan TikTok Challenge anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 berjaya mencungkil kreativiti pelajar dan orang awam menerusi penghasilan kandungan digital yang mengangkat semangat sambutan Hari Malaysia.
Pertandingan tersebut melibatkan tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan awam, dengan setiap kategori menyaksikan lima pemenang menerima hadiah wang tunai, sijil, plak, cek replika serta barangan cenderamata sumbangan Affin Bank.
Bagi kategori sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK)Kuala Baram II muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Tempat kedua dimenangi SK Rumah Goyang dengan hadiah RM2,000, manakala SJK Chung Hua Sejijak menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.
Dua hadiah saguhati pula masing-masing dimenangi SK Sungai Klampai dan Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub dengan wang tunai RM500 setiap satu.
Sementara itu, Kolej Vokasional Miri muncul juara bagi kategori sekolah menengah dengan hadiah wang tunai RM3,000.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuching No.1 meraih tempat kedua dengan RM2,000, manakala SMK Tinjar di tempat ketiga menerima RM1,000.
SMK Semerah Padi dan SMK BM Saratok pula masing-masing menerima hadiah saguhati bernilai RM500.
Bagi kategori awam, Erdy Azezy Sohardi dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 selain sijil, plak, cek replika dan cenderamata.
Beliau turut menerima perlindungan Insurans Takaful Kemalangan Diri bernilai RM100,000 daripada Agro Bank.
Tempat kedua diraih Kalthoum Adni dengan hadiah wang tunai RM2,000 serta perlindungan insurans bernilai RM50,000, manakala Leonard Aaron Banggai Sandum di tempat ketiga menerima RM1,000 dan perlindungan insurans bernilai RM50,000.
Dua penerima hadiah saguhati bagi kategori itu ialah Muhamad Rahman Hakim Abdullah dan Emaria Ahmad yang masing-masing menerima wang tunai RM500 berserta sijil, plak, cek replika dan cenderamata.
Muhamad Rahman Hakim turut menerima perlindungan Insurans Takaful Kemalangan Diri bernilai RM50,000 daripada Agro Bank.
Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada kesemua pemenang ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Mengiringi beliau ialah Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dr Suffian Jalet, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Dr Azizul Ismail serta tetamu kehormat yang lain.
Pertandingan berkenaan memperlihatkan potensi platform digital sebagai medium kreatif untuk menyampaikan mesej berkaitan Hari Malaysia, khususnya dalam menarik penyertaan golongan muda dan masyarakat umum.
Penganjuran tersebut juga memberi ruang kepada peserta menzahirkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan kandungan yang bersesuaian dengan semangat sambutan Hari Malaysia. -EDISI UKAS