Hampir 200 Penyertaan TikTok Challenge, Cerminkan Semangat Hari Malaysia Dalam Kalangan Anak Sarawak
KUCHING: Penyertaan hampir 200 video dalam Pertandingan UKAS TikTok Challenge sempena Hari Malaysia 2026 mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat, khususnya golongan pelajar dalam memahami dan menzahirkan semangat Hari Malaysia menerusi medium kreatif.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan platform media sosial seperti TikTok boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk menghasilkan kandungan kreatif, malah sebagai medium menyampaikan ilmu, membina kefahaman dan mengukuhkan perpaduan.
Menurutnya, pertandingan kali kedua anjuran UKAS itu diteruskan susulan sambutan menggalakkan terhadap TikTok Challenge sempena Hari Sarawak 2026, dengan penyertaan kali ini melibatkan kategori awam, sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Dengan adanya pertandingan seperti ini, ia secara tidak langsung memangkinkan kreativiti dan memberi peluang kepada anak-anak kita, utamanya pelajar sekolah, untuk berkarya bagi menyampaikan mesej secara kreatif kepada masyarakat.
“Pada masa sama, peserta akan lebih memahami serta menjiwai semangat Hari Malaysia itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan UKAS TikTok Challenge sempena Hari Malaysia 2026, di sini pada Rabu.
Jelasnya, proses menghasilkan kandungan pertandingan turut mendorong peserta membuat persediaan, menyemak fakta dan memahami perkara yang diketengahkan sebelum diterjemahkan dalam bentuk video.
Katanya, pendekatan itu secara tidak langsung memberi ruang kepada pelajar untuk mendalami makna Hari Malaysia, sebelum menyampaikan pengetahuan tersebut kepada masyarakat melalui kandungan yang lebih dekat dengan generasi muda.
“Melalui pertandingan ini juga, kita dapat menimba ilmu, khasnya golongan pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah dalam memahami dengan lebih mendalam tentang makna Hari Malaysia.
“Dengan menggunakan TikTok Challenge ini, kita dapat menyampaikan ilmu tersebut, membina kefahaman, mengukuhkan perpaduan dan menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat,” katanya.
Bagi edisi kali ini, UKAS mengetengahkan tema ‘Anak Sarawak Jiwa Malaysia’, selain mempelbagaikan segmen pertandingan bagi memberi ruang kepada peserta mengetengahkan kreativiti masing-masing.
Beliau pada masa sama menggalakkan sekolah dan peserta membuat persediaan lebih awal sekiranya pertandingan seumpama itu diteruskan pada tahun hadapan, khususnya bagi menghasilkan karya yang lebih tersusun dan memenuhi kriteria pertandingan.
Menurutnya lagi, penggunaan platform kreatif seperti TikTok juga selari dengan usaha UKAS memperluas penyampaian maklumat berkaitan pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak kepada masyarakat, khususnya menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan perkembangan komunikasi digital.
Beliau berharap semangat yang diterjemahkan peserta melalui pertandingan itu terus menjadi sebahagian daripada usaha bersama membina Sarawak yang lebih maju, makmur dan bersatu. -EDISI UKAS