HPTN 2026 Perkukuh Jaringan Dan Bakat Profesion Teknikal
KUCHING: Hari Profesion Teknikal Negara 2026 (HPTN 2026) bakal memperkukuh jaringan profesional dan perkongsian kepakaran teknikal menerusi penglibatan kerajaan, badan profesional, institusi pendidikan serta industri.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris berkata, penganjuran HPTN 2026 di Sarawak membuka ruang kepada warga profesion teknikal tempatan untuk berinteraksi dengan rakan seprofesion dari seluruh negara, selain berkongsi pengalaman dan amalan terbaik.
“Penglibatan ini diharapkan dapat memberi galakan kepada generasi muda untuk meneroka bidang teknikal dan seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di Kuching, pada Rabu.
Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan HPTN bukan sekadar menjadi medan menghargai sumbangan warga profesion teknikal, malah turut memperluas jaringan kerjasama dan perkongsian pengetahuan.
Katanya, HPTN juga berperanan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap profesion teknikal, di samping menggalakkan generasi muda meneroka bidang berkenaan sebagai pilihan kerjaya.
HPTN 2026 bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian” akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Menurut Datu Dr Cassidy, penganjuran di Sarawak turut memberi peluang kepada warga teknikal tempatan berkongsi pengalaman mengendalikan pembangunan infrastruktur dalam keadaan geografi serta keperluan masyarakat yang pelbagai.
HPTN 2026 bakal menampilkan enam program utama merangkumi ceramah teknikal, sesi produk dan inovasi, program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), zon interaktif e-sukan, karnival kerjaya serta ceramah kerjaya.
Pameran HPTN pula akan mengetengahkan 10 sektor teraju, antaranya teknologi hijau, teknologi elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi kimia, teknologi bangunan dan pembinaan serta teknologi pembuatan dan perindustrian.
Sebanyak 238 reruai, 1,500 pempamer dan kira-kira 5,000 pengunjung dijangka terlibat dalam HPTN 2026, merangkumi agensi kerajaan dan sektor awam, industri, badan profesional, institusi akademik, komuniti perniagaan, persatuan, golongan belia serta bakat masa hadapan.
Beliau berkata perkembangan teknologi turut membuka ruang pembelajaran kepada warga profesion teknikal, termasuk melalui perkongsian pengalaman berkaitan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), penggunaan data dan kecerdasan buatan dalam tugasan teknikal.
Sehubungan itu, Datu Dr Cassidy berharap institusi pendidikan dan rakan industri dapat memanfaatkan HPTN untuk mendekatkan generasi muda dengan bidang teknikal melalui pendedahan terhadap tugas sebenar, laluan pengajian serta kemahiran yang diperlukan.
Penganjuran HPTN 2026 di Sarawak sekali gus memperkukuh peranan negeri sebagai tuan rumah acara kemuncak profesion teknikal negara, selain menyediakan ruang untuk perkongsian kepakaran dan pengalaman antara warga teknikal dari seluruh negara.- EDISI UKAS