Era AI Cetus Keperluan Perkukuh Perlindungan Hak Cipta Karya Digital
KUCHING: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan penghasilan kandungan digital yang semakin pesat menuntut kerangka perlindungan hak cipta terus disesuaikan bagi mengiktiraf karya generasi muda yang dihasilkan menerusi teknologi baharu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, isu berkenaan semakin penting memandangkan golongan muda kini mampu menghasilkan karya kreatif menggunakan pelbagai teknologi digital dan AI.
Menurutnya, persoalan mengenai pemilikan serta pendaftaran hak cipta perlu diberi perhatian, khususnya apabila sesebuah karya dihasilkan dengan bantuan atau melalui AI.
“Budak-budak muda sekarang, khususnya di sekolah menengah, mereka sangat maju dalam pemikiran dan kreatif. Kadang-kadang mereka mahu mendaftarkan hak cipta terhadap hasil kerja mereka.
“Ini penting kerana definisi dalam Akta Hak Cipta pada masa ini banyak berkaitan hasil kerja manusia, sedangkan sekarang banyak penghasilan karya dibantu atau dijana oleh AI,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan UKAS TikTok Challenge sempena Hari Malaysia 2026, di sini pada Rabu.
Tambah beliau lagi, perkembangan teknologi berkenaan turut menimbulkan persoalan baharu berkaitan pengiktirafan pencipta, pemilikan karya dan hak terhadap hasil ekonomi seperti royalti yang memerlukan penelitian dari sudut perundangan.
Katanya, perubahan teknologi menuntut aspek kawal selia dan undang-undang harta intelek terus berkembang seiring dengan bentuk penghasilan karya yang semakin kompleks.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Abdullah turut mengingatkan peserta supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab kerana platform tersebut boleh memberi kesan berbeza bergantung kepada cara ia digunakan.
Menurutnya, media sosial mampu menjadi medium yang bermanfaat untuk menyampaikan mesej, namun penyalahgunaan platform berkenaan boleh mencetuskan salah faham, prasangka, fitnah serta kemudaratan dalam talian.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian ketika penggunaan media sosial semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, termasuk golongan pelajar yang semakin aktif menghasilkan kandungan digital.
Hadir sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Dr Suffian Jalet, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak Dr Azizul Ismail serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS