Profesion Teknikal Perlu Pacu Pembangunan Sarawak Secara Mampan
KUCHING: Profesion teknikal perlu terus diperkasa bagi memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak dilaksanakan secara berkualiti, selamat dan mampan, selaras dengan keperluan rakyat serta cabaran geografi negeri yang luas.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, pembangunan masa hadapan memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, penggunaan teknologi yang tepat serta komitmen terhadap kelestarian.
“Pembangunan negara pada masa hadapan memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi, teknologi yang tepat dan komitmen terhadap kelestarian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan Majlis Prapelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 di Kuching, pada Rabu.
Menurutnya, prinsip kelestarian perlu diterapkan dalam setiap keputusan teknikal, daripada pemilihan lokasi dan reka bentuk hingga kepada penggunaan bahan, kaedah pembinaan serta penyelenggaraan.
Katanya, setiap keputusan tersebut memberi kesan terhadap keselamatan pengguna, perbelanjaan awam dan keadaan alam sekitar dalam jangka panjang.
Dalam konteks Sarawak, beliau berkata cabaran pembangunan infrastruktur mempunyai keunikan tersendiri berikutan keluasan negeri, taburan penempatan yang berselerak serta keadaan muka bumi yang berbeza.
Justeru, katanya, penyelesaian teknikal dan inovatif yang bersesuaian perlu diterapkan dengan mengambil kira pengalaman di lapangan serta keperluan masyarakat.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur juga perlu memastikan tiada rakyat tercicir daripada manfaat pembangunan, khususnya melalui penyediaan jaringan perhubungan yang menghubungkan masyarakat luar bandar dan pedalaman dengan peluang pekerjaan, perdagangan serta perkhidmatan.
Pembukaan Jambatan Batang Igan pada Mac lalu katanya, menjadi antara contoh pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk Igan, Matu dan Daro apabila menyediakan hubungan jalan raya merentasi sungai yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri.
Dalam pada itu, Datuk Ir. Aidel menekankan kepentingan memperkukuh budaya penyelesaian masalah dalam pelaksanaan projek, termasuk memastikan setiap isu mempunyai pegawai bertanggungjawab, tindakan susulan yang jelas serta tempoh penyelesaian yang munasabah.
Pada masa sama ujarnya, penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), sistem maklumat geografi serta kecerdasan buatan digalakkan mengikut keperluan tugas bagi memperkemas penyelarasan reka bentuk, membantu analisis dan memudahkan pemantauan projek.
HPTN 2026 bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian” akan berlangsung pada 1 dan 2 Disember depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan Sarawak menjadi tuan rumah acara kemuncak.
Penganjuran itu diharap dapat mempertemukan kepakaran teknikal dengan keperluan pembangunan sebenar, selain memperkukuh perkongsian ilmu, pembangunan bakat dan kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, badan profesional, institusi pendidikan serta rakan industri.- EDISI UKAS