SALCRA Perkukuh Hubungan Dengan Komuniti Serian Sempena Ulang Tahun Ke-50
SERIAN: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) meneruskan iltizam mendekati masyarakat menerusi penganjuran Program Jangkauan Komuniti sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya di Ladang Kelapa Sawit Kedup 2, di sini, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, program itu menjadi wadah untuk menghargai perjalanan lima dekad SALCRA dalam pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR) serta memperkukuh kerjasama bersama masyarakat.
Beliau berkata, kerjasama erat serta saluran komunikasi yang telus antara agensi kerajaan dan rakyat merupakan teras penting dalam memastikan pembangunan sosial serta ekonomi setempat dapat direalisasikan secara holistik.
"Hubungan akrab antara agensi dan masyarakat perlu terus diperkukuh menerusi komunikasi terbuka.
"Langkah ini penting bagi memastikan setiap aspirasi, suara, dan keperluan komuniti dapat diberi perhatian sewajarnya demi kemajuan bersama," katanya semasa majlis perasmian program yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada komuniti setempat serta warga kerja SALCRA tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Program, Siang Mandaw berkata, penganjuran edisi ketiga itu berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan serta mendapatkan maklum balas daripada komuniti akar umbi.
Beliau turut menekankan komitmen berterusan SALCRA dalam meningkatkan produktiviti dan hasil ladang, selari dengan usaha mengenang sejarah serta pencapaian cemerlang agensi tersebut sepanjang 50 tahun bertapak di Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi memeriahkan program, antaranya pertandingan memasak SALCRA Masterchef Challenge, pertandingan karaoke, cabutan tiket bertuah, serta persembahan khas daripada artis jemputan tempatan.-EDISI UKAS