Belanjawan Sarawak Dijangka Beri Tumpuan Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi Digital
KUCHING: Belanjawan Sarawak yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar serta memperkukuh ekonomi digital negeri, selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, perbelanjaan pembangunan dijangka melebihi perbelanjaan pengurusan, dengan pembangunan luar bandar menjadi antara keutamaan utama.
“Saya percaya bahawa belanjawan ini akan berkiblatkan ke arah pembangunan, mungkin lebih 60 peratus untuk pembangunan dan daripada bajet pembangunan itu sebahagian besarnya ke arah luar bandar untuk menaik taraf pelbagai kemudahan awam di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bengkel Media Sarawak di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Abdullah, keutamaan pembangunan luar bandar termasuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, telekomunikasi serta bekalan air, termasuk kira-kira 1,700 jalan balak di kawasan pedalaman yang dikenal pasti untuk dinaik taraf bagi meningkatkan hubungan serta menyokong aktiviti pelancongan, pertanian dan akuakultur.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan ekonomi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) turut dijangka diberi perhatian, termasuk kemungkinan peruntukan tambahan kepada Pusat AI Sarawak serta pelaksanaan pelbagai program berkaitan digital.
Beliau turut berharap pemberian geran interim sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dapat disalurkan kepada Sarawak bagi membantu mempercepat pembangunan negeri.
“Geran RM1.5 billion daripada Persekutuan itu banyak akan membantu pelbagai pembangunan bukan hanya di kawasan pendalaman, kawasan saya, malah kawasan pedalaman di seluruh Sarawak kerana kawasan pedalaman di Sarawak mewakili lebih daripada 50 peratus,” ujarnya.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan-Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali dan Joachim Paggang Jabong, Ketua Pegawai Akademik Akademi Aeroangkasa, Digital & Tenaga Hijau (ADGEA) Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim serta Ketua Campus CENTEXS Lundu Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman.-EDISI UKAS