ADUN Murum Rasmi Penyerahan Tapak Projek Konsesi Balak, Lawat Projek Naik Taraf Jalan Ke Uma Seping
BELAGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon merasmikan penyerahan tapak Projek Konsesi Balak di bawah Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) bagi dua kawasan, iaitu PL Yan dan PL Monica di Uma Seping, Long Koyan, pada Rabu.
Program tersebut turut melibatkan lawatan ke cadangan projek naik taraf jalan ke Uma Seping serta tapak Projek Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah Uma Seping, Long Koyan.
Ketika ditemui, Kennedy memberitahu, penyerahan tapak dan lawatan berkenaan memberi peluang kepada pihak berkaitan meninjau keadaan sebenar di lapangan, khususnya aspek akses jalan, infrastruktur asas serta keperluan pemulihan rumah yang terjejas akibat kebakaran.
“Kerjasama antara agensi juga penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut keperluan penduduk dan memberi manfaat langsung kepada komuniti Uma Seping,” katanya.
Tambahnya, kehadiran bersama dengan wakil Pejabat Residen Kapit, Pejabat Daerah Belaga, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak menunjukkan perhatian serta komitmen berterusan pihak kerajaan terhadap keperluan pembangunan dan kebajikan masyarakat setempat.
Menurutnya, ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar serta memastikan isu dan keperluan masyarakat di Long Koyan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan dan agensi berkaitan. -EDISI UKAS