Semua Penggiat Media Perlu Dilibatkan Dalam Ekosistem Media
KUCHING: Semua penggiat dalam ekosistem media perlu diberi ruang untuk terlibat dalam perkembangan industri media seiring perubahan landskap penyampaian maklumat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, dunia media kini tidak lagi terhad kepada wartawan, malah turut merangkumi ‘stringer’, pencipta kandungan, pempengaruh, juruvideo serta pengendali platform media.
“Pada akhirnya, masing-masing adalah penyampai sesuatu berita, peristiwa ataupun maklumat sama ada sensasi dan sebagainya. Jadi, kita mahu melibatkan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Media Sarawak di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, di sini, pada Rabu.
Menurut Datuk Abdullah, perkembangan teknologi turut mengubah cara maklumat disampaikan kepada masyarakat, sekali gus memerlukan penglibatan lebih luas daripada pelbagai kelompok dalam bidang media.
Katanya, pendekatan tersebut turut diterapkan menerusi penganjuran bengkel yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan program berkaitan media terus relevan dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap penyampaian maklumat.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan-Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali dan Joachim Paggang Jabong, Ketua Pegawai Akademi Aeroangkasa, Digital & Tenaga Hijau (ADGEA) Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim serta Ketua Kampus CENTEXS Lundu Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman.-EDISI UKAS