LDMS Perkukuh Pemeliharaan 53,200 Naskhah Bahan Terbitan Sarawak
MIRI: Sebanyak 53,200 naskhah bahan penerbitan yang melibatkan 13,320 judul telah diterima Pustaka Negeri Sarawak sehingga Ogos 2026, dengan pengurusan dan pemeliharaannya kini diperkasa menerusi pendigitalan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pembangunan ‘Legal Deposit Management System’ (LDMS) menjadi antara langkah penting dalam memastikan bahan terbitan yang dihasilkan di Sarawak dapat dikumpul, direkod, dipelihara dan didokumentasikan secara lebih sistematik.
Katanya, platform digital yang dibangunkan Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) itu memudah dan memperkemas proses penerimaan, pengurusan, perekodan serta pendokumentasian bahan terbitan dalam format digital.
“Lebih penting lagi, pembangunan sistem ini akan membantu memastikan bahan-bahan penerbitan yang dihasilkan di Sarawak dapat terus dikumpul, dipelihara, didokumentasikan dan dijadikan sumber rujukan kepada masyarakat pada masa kini dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Penyerahan Bahan Terbitan dan Industri Penerbitan Sarawak 2026 di sini, pada Rabu.
Datuk Sebastian berkata transformasi digital dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang pesat dalam industri penerbitan perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kecekapan proses penghasilan, penyuntingan, penterjemahan dan penyebaran ilmu kepada masyarakat.
Bagaimanapun katanya, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan kualiti kandungan, hak cipta, ketulenan karya dan integriti maklumat bagi memastikan industri penerbitan terus berwibawa serta dipercayai.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau menyeru penulis dan penerbit supaya terus memainkan peranan aktif dengan mematuhi keperluan penyerahan tiga naskhah bahan terbitan kepada Pustaka Negeri Sarawak sebagaimana diperuntukkan di bawah Ordinan Penyerahan Bahan-Bahan Terbitan.
Menurutnya, bahan yang diserahkan kepada Pustaka Negeri Sarawak bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya merupakan warisan ilmu yang perlu dipelihara untuk manfaat generasi masa hadapan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya membaca dan industri penerbitan menerusi kerjasama antara penulis, penerbit, institusi pendidikan, penyelidik dan agensi kerajaan dalam menghasilkan karya berkualiti, relevan serta memberi impak kepada pembangunan negeri.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perpustakaan), Salina Zawawi, Pengurus Wilayah Pustaka Miri Edison Ricket dan Ketua Sektor Sumber Maklumat Pustaka Negeri Sarawak Ramdzan Saman. -EDISI UKAS