Jalan Ladang Tebelu–Emperan Buluh Tingkat Akses Ke Kawasan Pertanian
SEBUYAU: Projek Jalan Ladang dari Simpang Kampung Tebelu ke Emperan Buluh bernilai RM597,600 dijangka meningkatkan akses penduduk dan pengusaha pertanian ke kawasan ladang serta melancarkan pengangkutan hasil pertanian apabila siap pada 26 Oktober 2026.
Projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) itu melibatkan pembinaan jalan ladang yang menghubungkan Simpang Kampung Tebelu ke Emperan Buluh, dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai agensi pelaksana dan Suboh Enterprise sebagai kontraktor.
Projek berkenaan bermula pada 27 Februari 2026 dan dijadualkan siap pada 26 Oktober 2026, dengan pelaksanaannya kini dalam fasa pembinaan.
Lawatan tapak pada Rabu diadakan bagi meninjau perkembangan projek serta memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan memenuhi perancangan dan spesifikasi yang ditetapkan.
Apabila siap kelak, kemudahan tersebut dijangka memudahkan pergerakan penduduk dan pengusaha pertanian ke kawasan ladang, selain melancarkan pengangkutan hasil pertanian.
Akses perhubungan yang lebih baik turut dijangka menyokong aktiviti ekonomi setempat serta pembangunan kawasan luar bandar di Sebuyau, khususnya melalui peningkatan mobiliti penduduk dan pengusaha pertanian.
Turut hadir Pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan Yunus Akup, Pegawai Tadbir IRSDA Iffatul Arifah Yusup, wakil JPS Bahagian Samarahan Mohamad Arrib Ellin serta wakil Pegawai Daerah Sebuyau Kelvin Unggin.- EDISI UKAS