ADUN Murum Tinjau Lokasi Kebakaran Di Uma Badeng, Apau Koyan
SUNGAI ASAP: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon meninjau lokasi kejadian kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah di Uma Badeng, Apau Koyan, Sungai Asap, pada Rabu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.30 pagi itu mendapat perhatian dan bantuan daripada Sarawak Energy Berhad (SEB), Bomba Sukarelawan Sungai Asap serta penduduk setempat yang tampil membantu mengawal dan memadamkan kebakaran.
Menurut maklumat awal penduduk setempat, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran tong gas sebelum api merebak dan menyebabkan tiga buah rumah terbakar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut, namun kebakaran mengakibatkan kerugian harta benda apabila tiga buah rumah terlibat sepenuhnya.
Tindakan pantas pasukan sukarelawan dan penduduk setempat membantu mengawal keadaan serta mengelakkan kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain di kawasan berhampiran. -EDISI UKAS