KAPIT: Keperluan menaik taraf kemudahan kesihatan dan memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar di Kapit akan dibincangkan dalam mesyuarat susulan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu hadapan.
Perkara itu susulan lawatan Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bersama Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Dato Indera Mohd Shahar Abdullah, ke Klinik Kesihatan Bleteh dan Hospital Kapit pada Rabu bagi menilai keperluan serta keadaan sebenar kemudahan kesihatan di kawasan berkenaan.
Dato Indera Mohd Shahar berkata penilaian di lapangan penting bagi memastikan perancangan pembangunan mengambil kira keperluan sebenar masyarakat, khususnya perkara yang memerlukan perhatian segera.
“Perancangan mesti berasaskan keadaan semasa di lapangan dan bukan hanya tertakluk kepada perancangan di atas kertas, selain mengambil kira keperluan setempat dan perkara yang mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Bleteh dan Hospital Kapit, pada Rabu.
Menurut beliau, mesyuarat susulan bersama KKR dan KKM akan meneliti isu yang dikenal pasti sepanjang lawatan berkenaan, selain melihat langkah untuk mempercepatkan kerja-kerja awalan.
Antara keperluan yang dikenal pasti termasuk kekurangan petugas dan kenderaan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan luar bandar, keadaan kuarters yang daif serta keperluan penambahbaikan kemudahan hospital.
Keperluan lain melibatkan ruang menunggu, parkir, akses jalan serta peralatan perubatan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.
Dalam lawatan tersebut, rombongan turut meninjau Unit Kecemasan, Unit Hemodialisis, klinik pakar, kaunter pesakit luar, Unit Farmasi, kemudahan CT Scan dan mesin Echocardiogram di Hospital Kapit.
Dato Indera Mohd Shahar berkata penilaian semula terhadap perancangan sedia ada perlu dilaksanakan bagi memastikan projek yang dirancang bukan sahaja menangani keperluan semasa, malah memberi manfaat untuk jangka panjang.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada Program SDG Bersasar 2026 yang memberi tumpuan kepada isu dan cabaran pembangunan mampan di peringkat daerah menerusi intervensi berdasarkan keperluan setempat.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang Adat Bumiputera) merangkap ADUN Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Alvin Runggah Jimbun, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Watson Awan Jalai dan Paulus Dandee Temenggong Banyang, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, Pengarah Wilayah URDA, Sagu Unting, Pegawai Pembangunan Sosial URDA, Dr Nelson Brandah Seli serta Pegawai Perhubungan Komuniti URDA Kapit, Anthony Punan.-EDISI UKAS