Klinik Pergigian Bintangor Terima Sumbangan Tujuh Unit Penghawa Dingin
BINTANGOR: Sebanyak tujuh unit penghawa dingin bakal disalurkan kepada Pejabat Pergigian Bintangor bagi meningkatkan keselesaan kakitangan serta orang awam yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian di klinik berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata penyediaan kemudahan yang selesa merupakan antara aspek penting dalam memastikan kakitangan dapat menjalankan tugas dengan baik, selain memberi keselesaan kepada orang awam yang hadir mendapatkan rawatan.
Menurutnya, penyampaian perkhidmatan kesihatan yang baik bukan sahaja bergantung kepada aspek rawatan, malah turut dipengaruhi oleh persekitaran dan kemudahan yang disediakan kepada kakitangan serta pesakit.
“Dengan adanya kemudahan yang lebih selesa, kakitangan dapat menjalankan tugas harian dalam persekitaran yang lebih kondusif, manakala orang awam pula dapat menerima perkhidmatan dengan lebih selesa,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Klinik Pergigian Bintangor di sini pada Rabu.
Beliau turut meninjau keadaan semasa klinik, termasuk kemudahan dan persekitaran premis, selain mendapatkan penerangan daripada pihak Pejabat Pergigian Bintangor mengenai operasi serta keperluan semasa.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Pejabat Pergigian Bintangor atas sambutan serta perkongsian berkaitan keperluan klinik sepanjang kunjungan tersebut.
Lawatan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan untuk turun padang dan meninjau sendiri keperluan kemudahan awam di peringkat akar umbi, khususnya yang berkaitan dengan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.-EDISI UKAS