UNIFOR Bantu Naik Taraf Tiga Sekolah Mubaligh Sarikei
SARIKEI: Tiga sekolah mubaligh di Sarikei menerima peruntukan berjumlah RM433,848 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata peruntukan berkenaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan institusi pendidikan bukan Islam terus mendapat perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, bantuan tersebut penting bagi memastikan prasarana sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada para pelajar.
“Bantuan ini bertujuan memastikan prasarana sekolah bukan Islam dan institusi pendidikan di Sarikei terus terpelihara demi keselesaan pelajar.
“Saya berharap pihak pengurusan sekolah terbabit dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disalurkan bagi menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek bantuan UNIFOR kepada wakil pengurusan ketiga-tiga sekolah berkenaan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Sarikei, di sini pada Jumaat.
Tiga sekolah yang menerima peruntukan tersebut ialah Lembaga Pengurusan Sekolah Methodist Anglo-Chinese, Lembaga Pengurusan Sekolah SJK(C) Su Kwong dan SJK(C) Su Lee.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Premier Sarawak atas sokongan dan keprihatinan berterusan melalui UNIFOR dalam membantu menaik taraf infrastruktur serta kemudahan institusi pendidikan bukan Islam di Sarawak.
Beliau berkata usaha tersebut selaras dengan pendekatan Kerajaan Sarawak yang sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan serta kebajikan masyarakat tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS