169 Nelayan Zon Sampadi Terima Bantuan Peralatan Perikanan GKCDA
LUNDU: Seramai 169 nelayan dari lapan kampung di Zon Sampadi menerima manfaat menerusi Projek Pembekalan Peralatan Nelayan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti nelayan pesisir pantai.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM740,000 yang memberi manfaat kepada keseluruhan 619 nelayan dari 33 kampung di Kawasan Tanjong Datu melibatkan Zon Lundu Sampadi dan Sematan.
Ahli Jawatankuasa Pemandu GKCDA, Azizul Annuar Adenan berkata, sebanyak 6,060 unit peralatan perikanan dibekalkan menerusi projek berkenaan sebagai usaha memperkukuh keupayaan ekonomi komuniti nelayan setempat.
Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan nelayan meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus menambah pendapatan keluarga.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembekalan Peralatan Nelayan GKCDA Zon Sampadi di Dewan Serbaguna Kampung Sampadi di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua penerima supaya menggunakan peralatan yang dibekalkan secara bertanggungjawab, mengutamakan keselamatan ketika turun ke laut serta memastikan peralatan diselenggara dengan baik.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Lundu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian Sarawak dan Persatuan Nelayan Kawasan Lundu-Sematan.
Majlis itu turut disertai Pegawai Tadbir GKCDA, Mohd Badrulhisyam Muta'ee, Penolong Pegawai Daerah Lundu, Anwar Fakhriyuddin Matamit, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta wakil Persatuan Nelayan Kawasan Lundu-Sematan.-EDISI UKAS