Filem SAGA Tingkat Kesedaran Rakyat Terhadap Aspirasi Sarawak Capai Sifar Bersih 2050
KUCHING: Tayangan khas filem SAGA menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai komitmen Sarawak dalam mempercepat peralihan kepada ekonomi rendah karbon serta mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, usaha ke arah masa depan rendah karbon bukanlah sesuatu yang baharu bagi Sarawak, sebaliknya telah bermula sejak kira-kira 45 tahun lalu menerusi perancangan strategik kepimpinan terdahulu.
Menurutnya, pembangunan empangan hidroelektrik pertama Sarawak pada 1985 merupakan antara langkah awal yang mencerminkan visi jangka panjang negeri dalam memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Kita mampu membuktikan bahawa Sarawak boleh menjadi contoh ikutan di rantau ini.
“Kita juga mampu memainkan peranan sebagai pengimbang, bukan sahaja dalam aspek iklim, alam sekitar dan biodiversiti, malah pada masa yang sama menjana sumber pendapatan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Tayangan Filem Khas SAGA sempena pelancaran Polisi Sifar Bersih Sarawak dan Pelan Karbon di sini pada Jumaat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dan pembangunan rendah karbon.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil