Sukan Bentuk Disiplin, Jati Diri Dan Masa Depan Belia
BELAGA: Golongan belia digalakkan memanfaatkan aktiviti sukan sebagai platform membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri positif bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial yang boleh menjejaskan masa depan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata, penglibatan dalam sukan bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda untuk bergiat aktif, malah mendidik mereka mengamalkan nilai murni seperti semangat berpasukan, ketahanan mental, sikap saling menghormati dan kawalan emosi.
Menurut beliau, golongan belia perlu bijak membuat pilihan dengan mengisi masa lapang melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat demi membentuk hala tuju kehidupan yang lebih baik.
“Golongan belia hari ini berada pada satu fasa kehidupan yang amat penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan masing-masing. Setiap orang mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan masa dengan aktiviti yang bermanfaat atau sebaliknya.
“Saya percaya, kehadiran anak-anak muda dan masyarakat pada pagi ini menunjukkan bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih aktiviti yang sihat melalui sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2026 anjuran SABERKAS Cawangan Belaga di Gelanggang Serbaguna, Pekan Belaga, pada Jumaat.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga 8 November itu mempertandingkan dua acara utama, iaitu futsal lelaki melibatkan 12 pasukan dan bola tampar wanita dengan penyertaan lima pasukan, sekali gus menghimpunkan keseluruhan 17 pasukan.
Datuk Liwan turut merakamkan penghargaan kepada SABERKAS Cawangan Belaga atas usaha menganjurkan karnival berkenaan serta menggalakkan semua peserta agar terus mengamalkan semangat kesukanan dan persaingan secara sihat.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah mencungkil bakat sukan baharu, mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik pada awal pagi yang mendapat sambutan masyarakat setempat serta kehadiran Datin Rosnie Bilang.
Turut hadir Temenggong Ajang Sirek, Pemanca Unak Akah, Penghulu Abu Talip Mokhtar, Penghulu Peter Ho, Penghulu Michael George, Penghulu Jackson Kubang, Kiprawi Mohd Mokhtar, Onyo Leju serta Pengerusi SABERKAS Cawangan Belaga, Justine Ase.-EDISI UKAS