SLF 2026 Angkat Kesusasteraan Sarawak Ke Pentas Lebih Luas
MIRI: ‘Sarawak Literature Festival’ (SLF) 2026 membuka ruang lebih luas untuk karya, penulis dan warisan kesusasteraan Sarawak diketengahkan kepada khalayak, sekali gus memperkukuh ekosistem kesusasteraan dan industri kreatif negeri.
Festival sulung anjuran Pustaka Negeri Sarawak itu berlangsung selama lima hari dari 23 hingga 27 September di Stadium Tertutup Miri sebagai lokasi utama, selain beberapa program terpilih di Pustaka Negeri Sarawak, Miri dan Miri Handicraft Centre.
SLF 2026 turut menyokong aspirasi Miri ke arah pengiktirafan sebagai Bandar Kesusasteraan di bawah ‘UNESCO Creative Cities Network’ (UCCN), dengan menghimpunkan penulis, penerbit, penggiat budaya, pendidik, pelajar serta masyarakat dalam satu wadah kesusasteraan.
Festival berkenaan menggabungkan tiga komponen utama iaitu Book Fair Festival, Book Authors Festival dan Festival Sarawakiana yang memberi tumpuan kepada pembacaan, penerbitan serta penghayatan warisan dan budaya Sarawak.
Antara matlamat utama penganjuran SLF 2026 adalah menyediakan platform kepada penulis dan penerbit tempatan untuk memperkenalkan karya kepada khalayak lebih luas, di samping menggalakkan interaksi antara penulis dengan pembaca.
Festival itu turut membuka peluang kepada bakat baharu untuk mendapatkan inspirasi, memperluas jaringan serta mengembangkan kemahiran dalam bidang penulisan dan kesusasteraan.
Dalam pada itu, elemen Sarawakiana memberi penekanan terhadap pemeliharaan dan penghayatan warisan pelbagai komuniti Sarawak menerusi karya, tradisi lisan, cerita tempatan serta persembahan kebudayaan.
Pendekatan tersebut membolehkan masyarakat mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian identiti dan warisan kesusasteraan negeri, selain memastikan khazanah berkenaan terus dihargai oleh generasi akan datang.
SLF 2026 turut menghubungkan bidang kesusasteraan dengan sektor industri kreatif seperti filem, animasi, teater, kandungan digital dan pelancongan budaya, sekali gus membuka ruang untuk karya dan cerita tempatan dikembangkan kepada pelbagai bentuk penyampaian.
Pelbagai pengisian disediakan sepanjang festival termasuk sesi bersama penulis, forum kesusasteraan, bual bicara buku, bengkel penulisan kreatif, aktiviti bercerita, program belia, literasi komuniti, biblioterapi, persembahan puisi dan muzik serta bengkel kraf tradisional.
Penganjuran festival berkenaan turut berpotensi memberi manfaat kepada ekonomi tempatan melalui kehadiran pengunjung, selain menyediakan ruang kepada usahawan, penerbit, penjual buku dan penggiat kraf untuk memperkenalkan produk serta karya masing-masing.
Dengan sasaran kehadiran antara 20,000 hingga 50,000 pengunjung sepanjang lima hari, SLF 2026 diharap dapat membina jaringan berterusan antara agensi kerajaan, perpustakaan, institusi pendidikan, persatuan kesusasteraan, organisasi kebudayaan dan industri kreatif bagi memperkukuh ekosistem kesusasteraan di Sarawak. -EDISI UKAS