Biro Wanita Biperoh Aktif Perkasa Keluarga, Tangani Gejala Dadah
PADAWAN: Biro Wanita di Biperoh terus aktif memperkasakan kesejahteraan keluarga, dengan kali ini terlibat dalam program menangani penyalahgunaan dadah.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, inisiatif Biro Hal Ehwal Wanita Kampung Emperoh Garung dalam menganjurkan program kesedaran seumpama itu mencerminkan keprihatinan golongan wanita terhadap permasalahan sosial di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Program Komuniti Prihatin: Keluarga Sejahtera, Komuniti Bebas Dadah, di sini pada Ahad.
Program berkenaan turut melibatkan penyertaan lapan Biro Wanita dari kawasan Biperoh, selain menampilkan ceramah kesedaran oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penyampaian sumbangan kepada anak-anak sekolah.
Sementara itu, Datuk Willie Mongin turut merakamkan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan program berkenaan.
Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan Datuk Dr Jerip Susil sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Mambong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Beliau turut menyeru anggota biro wanita yang hadir agar memberikan sokongan kepada calon berkenaan pada hari pengundian, 12 Disember ini. -EDISI UKAS