Pendaftaran Autisme Meningkat Lapan Kali Ganda Sejak 2015
KUCHING: Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dalam subkategori autisme di Malaysia meningkat lapan kali ganda berbanding 2015.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, peningkatan tersebut turut menggariskan keperluan memperkukuh ekosistem sokongan dan perkhidmatan intervensi awal secara lebih menyeluruh bagi memastikan kanak-kanak autisme mendapat bantuan yang diperlukan untuk mencapai potensi optimum mereka.
“Pendaftaran OKU khususnya dalam subkategori autisme menunjukkan peningkatan ketara. Berdasarkan statistik tersebut, jumlah pendaftaran OKU autisme telah meningkat sebanyak lapan kali ganda berbanding tahun 2015.
“Peningkatan ini mencerminkan tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga yang semakin tinggi terhadap kepentingan pengesanan awal, pengiktirafan serta akses kepada pelbagai bentuk sokongan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Perkhidmatan Autisme Zon Sarawak, Sabah dan Labuan, di sini pada Ahad.
Sehingga 31 Oktober 2026, Malaysia merekodkan seramai 99,325 individu OKU dalam subkategori autisme, iaitu 27.77 peratus daripada keseluruhan 357,654 individu dalam kategori ketidakupayaan pembelajaran.
Sementara itu, Sarawak merekodkan seramai 7,924 individu autisme berdaftar, manakala Sabah mencatatkan 8,796 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 676 orang. -EDISI UKAS