SERIAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Bukit Semuja menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 selepas tiga calon disahkan layak bertanding di pusat penamaan calon di Serian Conference Centre pada Sabtu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Inting Nyami mengesahkan perkara itu selepas proses penamaan calon dan semakan dokumen pencalonan selesai dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tiga calon yang disahkan bertanding ialah John Ilus daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Joannes Ruba daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Dominic Dado Sagin daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Suasana di sekitar pusat penamaan calon turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,200 penyokong yang hadir bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
Keadaan cuaca yang baik, sikap berhemah penyokong serta kawalan keselamatan yang teratur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Keseluruhan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan terkawal tanpa sebarang insiden provokasi dilaporkan. – EDISI UKAS