Liputan Internet, Jalan Sempit Antara Keperluan Penduduk Sungai Pendam
KOTA SAMARAHAN: Kelemahan liputan internet dan komunikasi serta keadaan jalan kampung yang sempit antara isu setempat di Kampung Sungai Pendam yang diberi perhatian calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.
Beliau berkata, keperluan penduduk dan projek pembangunan yang masih belum diselesaikan di kawasan Stakan akan terus diberi perhatian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
“Sekiranya diberikan rezeki selepas 12 Disember ini, saya akan meneruskan kerja-kerja yang masih belum selesai dan berusaha memastikan kesinambungan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Komuniti Sukan dan Rekreasi Kampung Sungai Pendam, di sini pada Ahad.
Menurut beliau lagi, kesinambungan pembangunan penting bagi memastikan projek yang masih belum selesai dapat diteruskan, manakala keperluan masyarakat setempat diberi perhatian dalam tempoh lima tahun akan datang.
Program berkenaan turut memberi ruang kepada beliau menyantuni penduduk dan mendengar isu yang dihadapi masyarakat kampung, khususnya berkaitan kemudahan komunikasi dan keadaan infrastruktur jalan.
Turut hadir, Penghulu Kampung Pangkalan Kuap, Buhari Abu Sapian dan Ketua Kaum Kampung Sungai Pendam, Faridah Zainuddin. -EDISI UKAS