SARIKEI: Status beberapa projek utama di kawasan Sarikei menjadi antara perkara yang diteliti dalam Mesyuarat Perbincangan Berhubung Projek Rajang Delta Development Agency (RADDA) di bawah kawasan Parlimen Sarikei, pada baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, mesyuarat tersebut penting bagi meneliti status beberapa projek utama di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek berkenaan termasuk Jalan Janting ke Jalan Tulai, Pusat Kebudayaan dan Pelancongan Bahagian Sarikei, cadangan Waterfront Sarikei serta cadangan P-TURN di persimpangan Lebuhraya Pan Borneo menuju ke Pekan Jakar.
“Perbincangan berkenaan diharap dapat mengenal pasti sebarang isu atau kekangan yang dihadapi serta menetapkan tindakan susulan yang jelas supaya projek-projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat tersebut.
Berhubung baki peruntukan RADDA di bawah parlimen Sarikei, Dato Sri Huang berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk projek yang benar-benar diperlukan dan memberi impak langsung kepada masyarakat.
Justeru, beliau berharap kerjasama erat antara RADDA, Pejabat Residen, JKR, MDS dan semua agensi berkaitan dapat diteruskan demi mempercepatkan pembangunan di kawasan Sarikei. -EDISI UKAS