Tindakan Pemulihan Diperkasa, Projek Jambatan Selampit Diberi Perhatian
LUNDU: Usaha mempercepatkan pelaksanaan Projek Jambatan Selampit terus dipergiat dengan beberapa isu berkaitan kewangan, bekalan bahan binaan, pengurusan tapak dan jadual kerja dikenal pasti untuk tindakan penyelesaian segera.
Perkara itu menjadi fokus Mesyuarat Khas dan Lawatan Tapak Projek Jambatan Selampit yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Khamis bagi meneliti kemajuan semasa serta langkah pemulihan projek.
Berdasarkan taklimat, kemajuan fizikal projek kini mencapai 41.09 peratus berbanding 79.05 peratus mengikut jadual, dengan kelewatan sekitar 94 hari.
Kemajuan kewangan sebenar pula berada pada 46.48 peratus berbanding sasaran 80.64 peratus.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah penyaluran peruntukan secara berperingkat daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang memberi kesan terhadap proses pembayaran dan aliran tunai kontraktor.
Taklimat turut memaklumkan bayaran bagi Interim Payment Certificate (IPC) No. 18 berjumlah RM757,344.81 kini dalam proses pembayaran.
Pada masa sama, beberapa kekangan berkaitan pembelian dan penghantaran bahan binaan termasuk permanent casing, spun pile, bahan bagi kerja girder, PC strand dan ducting turut dikenal pasti untuk diberi perhatian bagi memastikan kesinambungan kerja di tapak.
Aspek mobilisasi sumber, penglibatan subkontraktor, pembayaran kepada pembekal, produktiviti tenaga kerja serta pengurusan dan penyeliaan di tapak turut diteliti bagi memperkukuh pelaksanaan pelan pemulihan atau catch-up plan.
Selain itu, faktor kenaikan harga diesel serta cabaran pengangkutan dan logistik penghantaran bahan turut diambil kira dalam usaha memastikan kemajuan projek dapat dipertingkatkan.
Projek berkenaan sebelum ini menerima kelulusan lanjutan masa dengan tarikh siap baharu ditetapkan pada 3 Januari 2027.
Sehubungan itu, mesyuarat khas dan lawatan tapak berkenaan menjadi platform untuk menyelaras tindakan antara pihak berkaitan, menyelesaikan kekangan yang dikenal pasti serta memperkukuh pemantauan bagi memastikan momentum pembinaan dapat dipertingkatkan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
Pembinaan Jambatan Selampit merupakan antara projek infrastruktur penting yang dijangka meningkatkan jaringan perhubungan serta memudahkan pergerakan penduduk di Selampit, Kendaie dan kawasan sekitarnya apabila siap kelak.-EDISI UKAS