50,000 Penjaga Profesional Disasar Menjelang 2030, Jadikan Sebagai Program TVET
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyasarkan seramai 50,000 penjaga (caregiver) berkemahiran dan profesional dilatih menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan penjagaan dalam negara dan luar negara.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program tersebut dilaksanakan bagi melahirkan penjaga profesional yang mempunyai kemahiran serta kelayakan dalam bidang penjagaan.
Menurutnya, pada peringkat awal, latihan diberikan kepada mereka yang bekerja di bawah institusi kementerian sebelum peluang tersebut dibuka kepada orang luar termasuk lepasan sekolah.
“Sekarang ini untuk tahun ini 2,000. Sebelum itu sudah ada 885. Sekarang ini kita buka lagi ruang kepada orang luar daripada institusi kami.
“Dan ini juga kita kaitkan dengan ‘Social Workers Bill’ yang kita luluskan sebelum ini supaya mereka ini dapat dimasukkan dalam golongan social worker.
“Dan mereka akan menjadi penjaga yang berkemahiran yang diiktiraf oleh orang ramai ataupun masyarakat, badan korporat atau mana-mana pihak, malah mereka diiktiraf di luar negara juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat di sekolah tersebut pada Khamis.
Tambahnya, penjaga terlatih amat diperlukan bagi membantu golongan yang memerlukan penjagaan termasuk orang kurang upaya, kanak-kanak dan warga emas.
Katanya, latihan yang diberikan bukan sekadar kemahiran asas, malah merangkumi latihan fizikal dan teori termasuk pengetahuan berkaitan bacaan darah, paras gula dalam darah serta kaedah pengurusan penjagaan yang betul.
“Kita galakkan sebab untuk mendapatkan 50,000, kementerian kita tidak cukup ramai kerana jumlah kita hanya berapa sahaja.
“Tapi kita memang buka peluang untuk orang luar sebab orang luar itu mungkin ada yang kita dapatkan TVET untuk mereka, jadi mereka boleh belajar secara percuma dan mungkin ada yang mahu naik lagi.
“Kita sekarang ini baru mula, jadi tahapnya insya-Allah dari masa ke semasa akan kita tingkatkan,” ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Douglas Demong