Media Prima, AFFIN Bank Santuni Komuniti Kampung Pujut Tanjung Batu
MIRI: Media Prima Berhad bersama AFFIN Bank Berhad menyantuni kira-kira 30 warga emas dan ibu tunggal di Kampung Pujut Tanjung Batu menerusi program Jom Bantu di Masjid An-Nur pada Khamis.
Pengurus Besar Events & Activations, Direct Solutions, Media Prima Berhad, Eileen Lim berkata, program berkenaan merupakan antara pengisian Karnival Jom Heboh Sarawak ‘Segulai Sejalai’ yang dilaksanakan sebagai usaha mendekati dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
“Bagi kami, apabila hadir ke sesuatu komuniti, kami bukan hanya mahu meninggalkan kenangan, tetapi mahu meninggalkan sesuatu yang memberi manfaat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurutnya, Jom Bantu turut melibatkan kerjasama komuniti setempat menerusi aktiviti gotong-royong dan mengecat tembok pagar bagi menceriakan kawasan Masjid An-Nur.
Selain itu, bakul makanan turut disampaikan kepada warga emas dan ibu tunggal sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Beliau turut menghargai kerjasama AFFIN Bank dalam menjayakan inisiatif Jom Bantu menerusi Jom Ronda.
Karnival Jom Heboh Sarawak ‘Segulai Sejalai’ berlangsung di Miri dari 25 hingga 27 September ini.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Miri Norlila Ulis, Pengurus Acara Korporat Kumpulan & Kolaborasi, Komunikasi Strategik AFFIN Bank Berhad Fatin Atiqa Hassan, Ketua Kaum Usman Suleiman Pengerusi Masjid An-Nur, Amli Talip dan Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ishak Baijuri.- EDISI UKAS