Kesusasteraan Sarawak Berpotensi Jadi Pemacu Ekonomi Kreatif
MIRI: Kesusasteraan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif Sarawak yang berpotensi menjana nilai baharu menerusi penerbitan, penterjemahan, pelesenan harta intelek, filem, animasi, permainan digital, pendidikan dan pelancongan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, karya yang mengangkat cerita dan identiti Sarawak mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada pelbagai bentuk kandungan kreatif, sekali gus membuka peluang kepada penulis serta penggiat industri berkaitan.
Menurut beliau, sebuah cerita Sarawak yang dihasilkan hari ini berpotensi menjadi harta intelek bernilai pada masa hadapan susulan perkembangan berkenaan boleh membuka peluang baharu kepada penulis, penerbit, ilustrator, pereka, penterjemah dan penggiat industri kreatif.
“Jika kita tidak menulis cerita kita sendiri, orang lain mungkin akan menulisnya bagi pihak kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena Majlis Perasmian Festival Kesusasteraan Sarawak (SLF) 2026, di sini pada Khamis.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, usaha memperkukuh ekosistem kesusasteraan juga penting dalam menyokong aspirasi Miri ke arah pengiktirafan sebagai Bandar Kesusasteraan di bawah ‘UNESCO Creative Cities Network’ (UCCN).
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut bukan sekadar gelaran, sebaliknya memerlukan ekosistem kesusasteraan yang kukuh melibatkan penulis, pembaca, penerbit, penjual buku, perpustakaan, institusi pendidikan, pertubuhan sastera dan ruang kreatif.
Dalam konteks itu, beliau berkata SLF 2026 boleh menjadi platform untuk mempertemukan penulis, pembaca, penerbit dan komuniti, selain memperkukuh jaringan yang menyokong perkembangan industri penerbitan dan kandungan kreatif tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperbanyakkan karya Sarawak yang diterjemahkan, menerbitkan karya penulis muda serta mendokumentasikan khazanah sastera peribumi bagi memastikan cerita dan identiti tempatan dapat diketengahkan kepada khalayak lebih luas.
Pada masa sama, Premier Sarawak menegaskan perpustakaan mempunyai peranan penting dalam menyokong pembangunan ekosistem tersebut, termasuk sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan, kreativiti, inovasi serta pemeliharaan khazanah dokumentari.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usang merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pengarah Perpustakaan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Edy Irwan Zulkafli dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli. -EDISI UKAS