Daro Teroka Potensi R&D Padi Perennial Seluas 11.67 Hektar
DARO: Cadangan pembangunan plot penyelidikan dan pembangunan (R&D) padi varieti perennial seluas 11.67 hektar di Blok E, Nangar Besar menjadi tumpuan sesi libat urus bersama pemilik tanah bagi menilai kesesuaian kajian perintis berkenaan di Daro.
Sesi anjuran Jabatan Pertanian Daro itu memberi ruang kepada pemilik tanah dan pihak berkepentingan mendapatkan penjelasan, mengemukakan pandangan serta membincangkan aspek pelaksanaan cadangan tersebut secara lebih terperinci.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, turut hadir pada sesi berkenaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Daro, pada Khamis.
Cadangan R&D tersebut turut melibatkan kerjasama Borneoland Paddy Sdn Bhd yang sebelum ini terlibat dalam projek penyelidikan dan penanaman padi varieti perennial di Sarawak.
Padi varieti perennial merupakan antara pendekatan yang sedang diterokai dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras negeri.
Berdasarkan kajian terdahulu di Kuala Baram, varieti berkenaan berpotensi tumbuh semula selepas dituai tanpa perlu ditanam semula, sekali gus membuka ruang kepada pengeluaran berulang.
Bagi cadangan di Daro, sesi libat urus itu penting bagi memastikan pandangan pemilik tanah, keadaan setempat serta aspek teknikal diambil kira sebelum sebarang langkah selanjutnya dipertimbangkan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kesesuaian tapak yang dicadangkan serta keperluan mendapatkan maklumat dan pandangan daripada pihak berkepentingan di peringkat awal.
Cadangan tersebut merupakan antara usaha meneroka kawasan yang berpotensi untuk penyelidikan padi varieti perennial di Sarawak, selain kawasan lain yang dikenal pasti sesuai.
Sesi libat urus berkenaan dihadiri kira-kira 50 orang, termasuk wakil Residen Bahagian Mukah, Petrone Benedict Sunggoh, wakil Pegawai Daerah Daro, Shah Hazizul Johari, Pegawai Pertanian Bahagian Padi dan Bijian, Jabatan Pertanian Sarawak, Jeremy Kuyah Liang, Pegawai Pertanian Bahagian Mukah, Haz Atika Hafeez, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Mukah, Abang Rafizan Abang Bushri, Penghulu, Jebli Ngok serta Ketua Kaum Kampung Nangar Besar, Sawi Dol.-EDISI UKAS