Seminar Keluarga Islam Perkukuh Institusi Kekeluargaan Di Daro
DARO: Pengukuhan institusi kekeluargaan melalui penghayatan nilai Islam, komunikasi berkesan dan pengurusan konflik secara berhemah penting dalam membentuk keluarga harmoni serta masyarakat yang sejahtera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, keluarga bukan sahaja menjadi tempat mendapatkan kasih sayang dan perlindungan, malah berperanan penting dalam membentuk akhlak, sahsiah serta jati diri setiap anggotanya.
Sehubungan itu, katanya, kehidupan berkeluarga Rasulullah SAW wajar dijadikan contoh dan panduan dalam membina rumah tangga yang berlandaskan kasih sayang, saling menghormati dan nilai-nilai Islam.
“Kita perlu menjadikan kehidupan berkeluarga Rasulullah SAW sebagai contoh dan panduan dalam membina rumah tangga yang penuh kasih sayang, saling menghormati dan berlandaskan nilai-nilai Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Islam sempena Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Daro Tahun 1448H/2026M di Dewan Masyarakat Daro, di sini, pada Khamis.
Safiee berkata, perselisihan dan perbezaan pandangan dalam keluarga merupakan perkara yang boleh berlaku, namun ia perlu ditangani dengan ilmu, kesabaran, komunikasi yang baik serta berpandukan ajaran agama bagi mengelakkan konflik menjejaskan keharmonian rumah tangga.
Katanya, pendekatan tersebut juga penting bagi membolehkan setiap anggota keluarga memahami antara satu sama lain dan menyelesaikan permasalahan secara lebih bijaksana.
Seminar anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daro itu memberi tumpuan kepada aspek pembinaan keluarga berteraskan nilai Islam serta kemahiran menangani konflik dalam rumah tangga.
Dua pembentangan utama disampaikan menerusi tajuk ‘Syurga Cinta: Inspirasi Keluarga Rasulullah SAW’ dan ‘Dari Tegang ke Tenang: Seni Menyelesaikan Konflik Keluarga’, yang masing-masing menekankan teladan kehidupan Rasulullah SAW serta pendekatan berhemah dalam mengurus perselisihan keluarga.
Seminar yang disertai kira-kira 150 peserta itu diharap dapat diterjemahkan kepada amalan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara anggota keluarga.
Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Daro, Sheril Aida Ayu, Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam merangkap Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk JAIS, Al-Fadhil Ustaz Suharman Edward, Ketua Bahagian Kemajuan Saudara Kita JAIS, Al-Fadhilah Ustazah Hanisah Dato Nahrawi, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Daro, Al-Fadhil Ustaz Anas Sarip serta wakil Pegawai KEMAS Daerah Daro merangkap penyelaras bersama seminar, Ayub Alli.-EDISI UKAS