PADAWAN: Sebanyak 32 buah rumah di kawasan Mambong bakal menerima penambahbaikan menerusi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Fasa 2/2026 melibatkan peruntukan keseluruhan RM500,000.
Projek berkenaan dijadualkan mula dilaksanakan pada Oktober ini, dengan kerja-kerja penambahbaikan dijangka siap dalam tempoh sebulan selepas kontraktor menerima surat tawaran.
Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dimulakan mengikut jadual, proses cabutan undi pemilihan kontraktor bagi PPRMS DUN Mambong Fasa 2/2026 diadakan hari ini di Pejabat Pusat Khidmat DUN N19 Mambong, Padawan.
Seramai 32 kontraktor tempatan mengambil bahagian dalam proses cabutan undi berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan rumah penerima yang telah dikenal pasti.
Turut menyaksikan proses tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 32 keluarga melalui penambahbaikan aspek keselamatan dan keselesaan kediaman, selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak membantu golongan yang memerlukan.-EDISI UKAS