Program Sarawakku Sayang Betong: Masyarakat Digalak Manfaat Pelbagai Inisiatif Kerajaan
BETONG: Pejabat Residen Bahagian Betong memainkan peranan penting dalam menyelaras penglibatan agensi kerajaan bagi memastikan Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas berkata, antara fungsi utama Pejabat Residen adalah mengkoordinasikan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat supaya penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan aktiviti dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Menurut beliau, Pejabat Residen turut menyelaras persediaan program di peringkat bahagian termasuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa, pembahagian tugasan, penyelarasan lokasi, jadual aktiviti serta keperluan logistik.
“Program Sarawakku Sayang merupakan platform untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan awam, bantuan serta pelbagai inisiatif kerajaan secara terus kepada masyarakat.
“Ia juga membolehkan rakyat berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan, mendapatkan maklumat serta menyampaikan keperluan dan permasalahan mereka,” katanya ketika sesi temu bual bersama RTM sempena Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong di Mini Studio RTM, Kompleks Sukan Betong pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha promosi oleh pihak media dapat terus diperkasakan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat dari Betong dan kawasan berdekatan hadir serta memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan sepanjang program berkenaan.
Sesi temu bual tersebut turut menampilkan Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali bin Wan Malek yang berkongsi mengenai persediaan PDRM dalam memastikan aspek keselamatan, kawalan trafik dan kelancaran pergerakan orang ramai sepanjang Program Sarawakku Sayang berlangsung.
DSP Wan Mohamad Ali bin Wan Malek berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan trafik sepanjang Program Sarawakku Sayang berlangsung.
Katanya, beberapa anggota polis akan ditempatkan di kawasan strategik bagi membantu melancarkan pergerakan kenderaan, mengelakkan kesesakan serta mengurangkan risiko kemalangan.
“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan di laluan keluar masuk dan lokasi berisiko, selain kawalan fizikal serta laluan khas disediakan bagi VIP dan tetamu kehormat,” katanya.
Beliau berkata, koordinasi antara agensi turut diperkukuhkan melalui perkongsian maklumat, perancangan bersama dan komunikasi berkesan dengan pihak penganjur serta agensi keselamatan berkaitan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan polis dan peraturan lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif yang disediakan sekiranya berlaku lencongan atau penutupan jalan secara berperingkat mengikut keperluan program.
Pengguna jalan raya di kawasan terjejas juga diminta tidak menghalang laluan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta menjaga barangan berharga sepanjang program berlangsung.
Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 menjadi platform bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat, di samping memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat serta memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan secara terus.