Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pelaburan Strategik Masa Depan Sarawak
KUCHING: Pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan bagi membentuk generasi berkualiti yang mampu memacu masa depan Sarawak, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira peluang yang disediakan kepada rakyat sejak peringkat awal kehidupan.
“Pembangunan tidak boleh hanya diukur berdasarkan jalan raya, jambatan, bangunan dan industri yang kita bina.
“Sebaliknya, ia juga perlu diukur berdasarkan peluang yang kita sediakan kepada rakyat, bermula sejak peringkat awal kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sarawak Preschool International Convention (SPIC) 2026 di Waterfront Hotel Kuching di sini pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pendidikan awal memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan yakin, bekerjasama dan terus belajar sepanjang hayat.
Katanya, asas kepada keupayaan tersebut dibentuk sejak usia awal menerusi hubungan yang selamat, interaksi bermakna, permainan, sifat ingin tahu dan kreativiti.
"Dalam usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak, Sarawak perlu terus memberi perhatian kepada aspek kesaksamaan pendidikan tanpa mengira geografi dan latar belakang keluarga, selain mempersiapkan kanak-kanak menghadapi perubahan teknologi.
"Pada masa sama, usaha itu perlu memberi penekanan terhadap pengukuhan identiti, keyakinan global serta pembangunan sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih bersepadu," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata SPIC 2026 menjadi platform penting untuk Sarawak menimba pengalaman dan pengetahuan dari seluruh dunia, di samping berkongsi pendekatan negeri dalam aspek akses, keterangkuman dan inovasi pendidikan awal kanak-kanak.-EDISI UKAS