RTP RM200,000 Tingkat Akses Penduduk Kampung Simuti
PADAWAN: Kemudahan infrastruktur di Kampung Simuti, Padawan terus dipertingkat menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Mambong bernilai RM200,000 bagi menyediakan akses yang lebih baik dan selesa kepada penduduk setempat.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira 200 meter yang menghubungkan kawasan kampung dengan tanah perkuburan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk khususnya bagi urusan berkaitan serta aktiviti kemasyarakatan.
Projek itu diselaraskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Simuti dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) sebagai agensi pelaksana.
Pelaksanaannya secara gotong-royong turut melibatkan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK) Kampung Simuti, sekali gus mencerminkan penglibatan langsung komuniti dalam usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Lawatan bagi meninjau pelaksanaan projek itu diketuai Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Keron Mapus, bersama pegawai DID serta AJKKK Kampung Simuti.
Projek yang dimulakan pada April 2026 itu merupakan antara usaha berterusan menerusi RTP DUN N19 Mambong dalam memenuhi keperluan infrastruktur asas serta meningkatkan kemudahan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar Padawan.-EDISI UKAS