Sarawak Bangunkan Kerangka ECCE Perkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak
KUCHING: Sarawak sedang membangunkan Kerangka Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) sebagai panduan menyeluruh bagi memperkukuh penyelarasan, kualiti dan hala tuju sektor penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerangka berkenaan akan menyatukan aspek utama ECCE termasuk akses, kualiti, keterangkuman, perkembangan kanak-kanak dan profesionalisme pendidik.
Menurutnya, kerangka tersebut turut merangkumi penglibatan keluarga, persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif, pengesanan serta intervensi awal, tadbir urus yang baik dan peralihan kanak-kanak ke pendidikan formal.
“Lebih penting lagi, kerangka ini akan membantu kita menentukan rupa bentuk kualiti ECCE dalam konteks Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Sarawak Preschool International Convention 2026 (SPIC 2026) di Waterfront Hotel di sini pada Jumaat.
Dato Sri Fatimah menambah, pembangunan ECCE memerlukan pendekatan merentas sektor memandangkan keperluan kanak-kanak berkait rapat dengan aspek pendidikan, kesihatan, pemakanan, kesejahteraan keluarga dan perlindungan.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara kerajaan, akademia, pengamal ECCE, industri, komuniti dan keluarga perlu terus diperkukuh bagi memastikan keperluan kanak-kanak dapat ditangani secara menyeluruh.
Setakat 31 Ogos 2026, Sarawak mempunyai 2,949 institusi ECCE yang terdiri daripada 2,719 Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dan 230 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), memberi perkhidmatan kepada 72,136 kanak-kanak dengan sokongan 5,796 guru dan pendidik.
Dalam pada itu, beberapa penggiat ECCE turut menerima pengiktirafan menerusi ECCE Quality Awards 2026 yang disampaikan pada majlis berkenaan.
Anugerah TASKA Berkualiti 2026 masing-masing diterima Pengurus Operasi SeDidik Zon Kuching, Awang Kederi Awang Mahdar dan Ketua Pendidik TASKA di Tempat Kerja SeDidik Baitul Makmur 2, Kuching, Dayang Hamimah Awang Hamdan.
Anugerah TADIKA Berkualiti 2026 pula diberikan kepada Pengetua TADIKA Bodhi, Catherine Chai Fui Choo dan Penyelia TADIKA Bodhi, Kho Kui Ching, manakala Anugerah Khas IPAKK 2026 diterima Rosni Salleh dan Cathrine Sebarang.
Turut menerima pengiktirafan ialah Nur Hafizah menerusi Inclusive Teacher Award - SeDidik, Jong Suk Ying bagi Inclusive Teacher Award - Private Kindergarten dan Alandra Flora Isa bagi Inclusive Master Trainer Award.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono. -EDISI UKAS